Sunday, 4 March 2012

Meninggal Sebelum Sempat Bertaubat

SOALAN : Dua orang yang sebelum berkahwin telah melakukan zina, kemudian setelah berkahwin isterinya meninggal dunia sebelum sempat bertaubat, apakah boleh suaminya bertaubat bagi pihak isterinya?

JAWAPAN : Sebarang dosa yang lakukan wajib dipohonkan taubat kepada Allah secara peribadi. Setiap seorang wajib bertaubat untuk dirinya. Ingatlah bertaubat jangan ditunggu masa lapang atau masa tua atau waktu-waktu tertentu. Selepas melakukan dosa segeralah bertaubat kerana kita belum tahu apakah umur kita masih panjang atau tidak. Bertaubat tidak cukup dengan sekali sekala tetapi hendaklah sepanjang masa untuk dirasakan keinsafannya. Allah akan terima taubat kita bergantung pada keikhlasan, kesungguhan dan keinsafan kita. Oleh itu bertaubatlah selalu supaya timbul rasa keikhlasan, kesungguhan dan keinsafan itu.


Kalau kita bertangguh-tangguh jadilah seperti pasangan yang berzina itu, mengapa ditunggu lepas berkahwin baru hendak bertaubat, mengapa tidak selepas melakukan zina itu. Dalam kes itu, diharapkan suami bertaubatlah bersungguh-sungguh atas dosa yang dilakukan itu. Di samping itu bolehlah suami itu berdoa kepada Allah agar dosa isterinya itu diampunkan oleh-Nya. Sama ada Allah kabulkan atau tidak terserahlah kepada-Nya. Namun bertaubat bagi pihak isteri tidak ada dalam syariat.