Monday, 16 January 2012

Mengajar Tulisan Jawi

SOALAN : Apakah hukumnya mengajar tulisan jawi dan muqaddam ketika dalam keadaan haid? Ada orang kata tidak mengapa kerana itu bukan ayat al-Quran.

JAWAPAN : Ayat al-Quran adalah ayat-ayat suci yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada para Rasul dan Nabi melalui malaikat Jibril. Kerana itu ayat suci tidak boleh dibaca dalam keadaan berhadas besar atau haid. 


Manakala tulisan jawi dan ayat-ayat dalam Muqaddam itu sebahagiannya merupakan tulisan Arab sahaja bukan wahyu dari Allah. Kedudukan Al-Quran yang tinggi itu tidak sama nilainya dengan tulisan jawi dan ayat-ayat dalam bahasa Arab. Al-Quran itu diwahyukan dalam bahasa Arab kerana Rasulullah SAW bertutur dalam bahasa Arab.


Oleh kerana hendak membaca al-Quran bagi sesetengah orang amat sukar maka wajiblah mereka belajar bahasa Arab dahulu; mengenal huruf Arab dan cara menyebutnya. Apabila sebutan Arab sudah baik, mudahlah dia membaca al-Quran dengan betul.


Kalau begitu tidaklah salah mengajar tulisan jawi atau bacaan muqaddam ketika dalam keadaan haid. Cuma mereka yang mengajar Muqaddam itu perlu tahu dan faham bahawa bahagian kedua dalam Muqaddam itu adalah himpunan surah-surah pendek yang bermula dengan surah Al-Fatihah, An-Nass dan berakhir dengan surah An-Naba'. Bahagian ini termasuk dalam al-Quran. Maka, walaupun saudari mengajar Muqaddam itu cuma di bahagian ejaan sahaja, menyentuhnya dihukumkan tetap tak boleh.


Oleh itu, berhati-hatilah menjalankan tugas itu. Ingatlah mengajar untuk membolehkan orang ramai pandai membaca al-Quran mendapat pahala yang besar tetapi jangan sampai membuat dosa pula. Ini adalah menyentuh al-Quran dan membacanya sewaktu haid adalah berdosa.


Wassalam.

Tuesday, 10 January 2012

Hukum Membantah Teguran


SOALAN : Saya menegur seorang kawan perempuan dan menakutkannya dengan menceritakan pembalasan Allah SWT atas sesuatu kemungkaran. Dengan tiba-tiba dia menjawab; "Agama masing-masing, pahala tidak bercampur dengan dosa. Mati tidak sekubur. Kalau tidak kenapa Tuhan jadikan Syurga dan Neraka". Apakah kedudukan orang yang bercakap demikian?

JAWAPAN : Orang yang berkata begitu adalah orang yang jahil pada agamanya. Perlu diingat Allah SWT tidak menurunkan azab khusus terhadap orang yang melakukan dosa itu saja tetapi meliputi semua yang tinggal bersama-sama dengannya.

Ini kerana pernah berlaku di zaman nabi-nabi dahulu-kala sebuah kampung itu ranap musnah akibat ada orang yang tidak sembahyang datang hanya membasuh muka di kampung itu. Kemudian air pada mukanya menitik-nitik sehingga Allah SWT menjahanamkan mereka kesemuanya.

Kisah ini menggambarkan pentingnya masyarakat yang menasihati orang yang jahil. Didiklah mereka sehingga faham, jangan berputus asa. Didiklah dengan cara yang berhikmah.

Wassalam.

Friday, 6 January 2012

Berdoa Untuk Suami Yang Soleh




SOALAN : Apakah hukumnya seorang gadis berdoa agar dirinya segera dipertemukan jodoh dan mengharap dikurniakan suami yang soleh?

JAWAPAN : Hukumnya harus, memohon agar Allah SWT memberikan jodoh orang yang baik (soleh). Disamping berdoa, mintalah bantuan ibu bapa agar mencarikan pasangan yang soleh.

Tindakan ini adalah lebih baik daripada mencari sendiri demi mengelakkan daripada berlakunya maksiat. Perempuan memang tidak elok mencari jodoh sendiri.

Wassalam.

Tuesday, 3 January 2012

Anggap Dating Adat Kebiasaan



SOALAN : Bolehkah saya keluar dengan teman lelaki saya dan tetap menjaga batasan dalam adat biasa Melayu?

JAWAPAN : Berjalan berdua-duaan di antara lelaki dengan perempuan adalah haram walaupun dipelihara batas-batasnya. Kita mesti mematuhi ajaran Islam walaupun mungkin sesuatu itu adalah biasa dalam adat Melayu. Perbuatan bergaul di antara lelaki dengan perempuan walaupun berjanji menjaga batas larangan tidak menjaminkan tidak jatuhnya ke lembah maksiat. Sebelum sahnya akad nikah maka selagi itulah antara lelaki dengan perempuan itu haram bersama. Pada mereka yang mengikuti ajaran Islam yang sebenarnya hendaklah menjauhkan diri daripada perbuatan sedemikian.

Maksiat bukan bermaksud berzina saja, melanggar apa saja perintah Allah itulah hakikat maksiat.

Wassalam.

Pengertian Hijrah


SOALAN : Apakah pengertian hijrah yang sebenarnya?

JAWAPAN : Hijrah ertinya berpindah. Di zaman Rasulullah SAW berlaku 2 kali hijrah. Hijrah pertama berlaku ke Habsyah dan yang kedua ke Madinah. Berhijrah di waktu itu adalah kerana perintah dari Allah untuk menyelamatkan iman dan mencari tapak gelanggang perjuangan Islam.

Semasa di Makkah, umat Islam sentiasa ditindas dan diganggu oleh musuh, maka dengan sebab itu mereka berpindah ke Habsyah untuk menyelamatkan iman. Di masa yang lain mereka juga dihalang bergerak untuk mengembangkan Islam sehingga penyebaran Islam terganggu.

Untuk itu mereka diperintahkan berhijrah ke Madinah. Di sanalah, bermulanya gerakan mengembangkan Islam ke seluruh dunia; dengan lebih selamat dan tersusun. Kini hijrah ke Habsyah dan Madinah suda tidak ada lagi kerana Habsyah bukanlah lagi tempat menyelamatkan iman, manakala Madinah pula bukanlah lagi sebagai tapak gelanggang perjuangan Islam. Kini Islam sudah meluas. Cuma yang ada sekarang ialah hijrah dalam bentuk sikap dan perbuatan untuk mencapai dua sebab penghijrahan yang disebutkan tadi.

Berikut perbandingan untuk mudah difahami:

i. Si A mula sedar bahawa indahnya Islam tetapi dalam tempoh kesedaran itu dia selalu dinista oleh kawan-kawan lamanya. Untuk menyelamatkan imannya dia mengubah sikap meninggalkan kawan lama dan berkawan dengan kawan baru yang sama-sama mendapat kesedaran.


ii. Si B sedang menggerakkan persatuan Islam di sebuah kampung tetapi di kampung itu selalu ada penghalangnya lalu mereka mencari tempat lain yang penduduknya agak simpati dengan mereka.


iii. Si C seorang yang sudah terlanjur dengan berbagai maksiat. Satu hari dia dikejutkan dengan perasaan benci kepada maksiat itu lalu dia mengambil tindakan berpindah ke kampung yanng mengamalkan ajaran Islam.


Tindakan yang dilakukan oleh Si A, B dan C adalah di anggap berhijrah yang pahalanya sama dengan berhijrah di zaman Rasulullah SAW dulu. Walau bagaimanapun, niat untuk melakukan itu semua mestilah betul agar Allah menilainya sebagai hijrah.

Wassalam.