Monday, 16 January 2012

Mengajar Tulisan Jawi

SOALAN : Apakah hukumnya mengajar tulisan jawi dan muqaddam ketika dalam keadaan haid? Ada orang kata tidak mengapa kerana itu bukan ayat al-Quran.

JAWAPAN : Ayat al-Quran adalah ayat-ayat suci yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada para Rasul dan Nabi melalui malaikat Jibril. Kerana itu ayat suci tidak boleh dibaca dalam keadaan berhadas besar atau haid. 


Manakala tulisan jawi dan ayat-ayat dalam Muqaddam itu sebahagiannya merupakan tulisan Arab sahaja bukan wahyu dari Allah. Kedudukan Al-Quran yang tinggi itu tidak sama nilainya dengan tulisan jawi dan ayat-ayat dalam bahasa Arab. Al-Quran itu diwahyukan dalam bahasa Arab kerana Rasulullah SAW bertutur dalam bahasa Arab.


Oleh kerana hendak membaca al-Quran bagi sesetengah orang amat sukar maka wajiblah mereka belajar bahasa Arab dahulu; mengenal huruf Arab dan cara menyebutnya. Apabila sebutan Arab sudah baik, mudahlah dia membaca al-Quran dengan betul.


Kalau begitu tidaklah salah mengajar tulisan jawi atau bacaan muqaddam ketika dalam keadaan haid. Cuma mereka yang mengajar Muqaddam itu perlu tahu dan faham bahawa bahagian kedua dalam Muqaddam itu adalah himpunan surah-surah pendek yang bermula dengan surah Al-Fatihah, An-Nass dan berakhir dengan surah An-Naba'. Bahagian ini termasuk dalam al-Quran. Maka, walaupun saudari mengajar Muqaddam itu cuma di bahagian ejaan sahaja, menyentuhnya dihukumkan tetap tak boleh.


Oleh itu, berhati-hatilah menjalankan tugas itu. Ingatlah mengajar untuk membolehkan orang ramai pandai membaca al-Quran mendapat pahala yang besar tetapi jangan sampai membuat dosa pula. Ini adalah menyentuh al-Quran dan membacanya sewaktu haid adalah berdosa.


Wassalam.

No comments: